Mati Syahid

7 HABUAN MATI SYAHID

Daripada Ubadah bin Shomit katanya bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Di sisi Allah, orang yang mati syahid itu akan mendapat 7 ganjaran iaitu :

1. Mendapat keampunan pada permulaan darahnya memancar keluar
2. Melihat tempat duduknya di Syurga
3. Dihiasi dengan hiasan iman
4. Dikahwinkan dengan bidadari Syurga
5. Dilindungi daripada seksa kubur
6. Diamankan daripada kedahsyatan hari qiamat
7. Dipakaikan mahkota kehormat di atas kepalanya di mana satu mutiara daripadanya adalah lebih baik daripada dunia dengan segala isinya serta diizinkan pula memberi syafaat kepada 70 orang dari kalangan ahli keluarganya

- Dikeluarkan oleh imam Ahmad, Al-Bazzar dan At-Tobarani

Kisah Amir dan mati syahid

PADA zaman Rasulullah SAW, hidup seorang lelaki bernama Amir bin Jamuh. Kakinya tempang, namun Amir bertekad untuk ikut bertempur dalam Perang Uhud.

Beberapa sahabat menghalangnya kerana menganggap Amir tidak sesuai memandangkan dia tempang, namun Amir yang disokong oleh isterinya tetap bertekad untuk berbuat demikian demi membela agama Allah.

"Aku tidak percaya mereka telah melarangmu untuk ikut dalam pertempuran itu," kata isteri Amir.

Mendengar kata-kata itu, Amir menghunus pedang dan berdoa, "Ya, Allah, janganlah Engkau kembalikan aku kepada keluargaku".

Amir kemudiannya menemui Rasulullah SAW dan menyakinkan baginda untuk membenarkannya menyertai tentera muslimin.

Rasulullah SAW meminta Amir agar tidak ikut berperang. Namun, Amir terus mendesak dan akhirnya Rasulullah pun mengizinkannya.

Di medan pertempuran, Amir berteriak, "Demi Allah, aku ini sangat mencintai syurga".

Amir akhirnya gugur syahid di medan pertempuran. Setelah mendengar berita kematian suaminya, isteri Amir segera membawa seekor unta untuk membawa pulang jenazahnya.

Ketika jenazah Amir diletakkan di atas unta, haiwan itu tidak mahu berdiri. Pelbagai usaha dilakukan olehnya namun unta itu tetap tidak mahu berjalan, sebaliknya asyik memandang Uhud.

Ketika Rasulullah SAW mengetahui berita itu, baginda bersabda, "Sesungguhnya, unta itu telah diperintahkan untuk berlaku demikian. Adakah Amir berkata sesuatu semasa dia mahu meninggalkan rumahnya?"

Isterinya memberitahu sebelum meninggalkan rumah untuk bertempur di medan perang, Amir mengadap kiblat sambil berdoa, "Ya, Allah, janganlah Engkau kembalikan aku kepada keluargaku". Itulah sebabnya, kata Rasulullah, unta itu tidak mahu pulang.

Kisah yang tercantum dalam kitab Himpunan Fadilah Amal karya Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi itu menggambarkan keberanian dan kepahlawanan orang yang berjuang di jalan Allah. Mereka hanya berharap menjadi pahlawan yang gugur syahid di sisi-Nya.

Dalam surah ali-'Imran ayat 169-170, disebutkan bahawa orang yang gugur di jalan Allah sebenarnya tidak mati, tetapi hidup di sisi Allah SWT.

Mereka yang gugur di jalan Allah SWT benar-benar hidup di alam lain, ini berbeza dengan alam kita.

Di alam sana, mereka juga mendapat rezeki daripada Allah yang sesuai dengan kehidupan alam barzakh. Maka itu, mereka bergembira kerana berada dalam kehidupan yang sebenarnya di sisi Allah.

Dalam Islam, mati syahid (Arab: شَهيد ‎ šyahīd, jamak: شُهَداء šyuhadā') ertinya Muslim yang maut ketika berperang atau berjuang di jalan Allah membela kebenaran atau mempertahankan hak dengan penuh kesabaran dan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah. Siapa yang berjuang membela harta miliknya, jiwanya, keluarganya, agamanya, dan meninggal dalam perjuangannya itu, maka ia meninggal fi sabilillah atau mati syahid.

Mati syahid merupakan cita-cita tertinggi umat Islam. Salah satu jalan menuju mati syahid adalah berjuang di jalan Allah (jihad fi sabilillah).


Dalil orang mati syahid

Orang-orang yang termasuk golongan yang meninggal dalam keadaan syahid telah dijelaskan dalam dalam Al-Quran dan hadis, adalah sebagai berikut:

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman. (Surah Ali ‘Imran:169-171)


Adapun hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang berkenaan dengan masalah golongan yang meninggal dalam keadaan syahid banyak dijumpai diantaranya adalah sebagai berikut:

1. Rasulullah bersabda:
"Barangsiapa yang terbunuh kerana membela hartanya, maka ia syahid. Terbunuh kerana membela agamanya, maka ia syahid. Terbunuh kerana membela dirinya, ia syahid. Dan terbunuh kerana membela keluarganya, ia syahid." (Hadis Riwayat Ahmad(1565), Tirmidzi(1341), An Nasa’I(4026), Abu Daud(4142)

2. Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah bersabda:
"Apa menurut kalian tentang orang yang mati syahid?" Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah, mati syahid adalah buat mereka yang dibunuh fisabilillah." Rasulullah bersabda: "Jika demikian saja, maka syuhada umatku sedikit." Mereka bertanya: "Lalu, siapa mereka Ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Barangsiapa dibunuh dijalan Allah itulah Syahid, dan barangsiapa mati fisabilillah itulah syahid, yang mati kerana thaun (sejenis penyakit lepra) maka dia syahid, dan siapa yang mati kerana sakit perut dia syahid." (Hadis Riwayat Muslim(3539)

Catat Ulasan

0 Ulasan